Khamis, 5 September 2013

PROF AGUS SEKOLAHKAN AHMAD MASLAN TIMBALAN MENTERI KEWANGAN MERANGKAP KETUA PENERANGAN UMNO PASAL ALASAN MENGAPA NAJIB NAIKKAN RON95 DAN DIESEL 20 SEN SELITER!!!!!

Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen danharga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara." 

Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.

Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?

Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.

Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.

Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.

Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.

Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."

Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!

Isnin, 20 Disember 2010

KONTRAK SOSIAL

tunku-r

Tunku Abdul Rahman Al-Haj berjaya menyakinkan rakyat dengan kontrak sosial yang telah dipersetuju bersama oleh semua kaum

kontrak-sosial

Ketuanan orang-orang Melayu perlu dipertahankan

Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial

Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di media tempatan apabila akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media.

Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat kenyataan tersebut sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan atau menukar formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai kemerdekaan. Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya semua perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.

pdn1

Gembira menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi tanpa perasaan perkauman
(Sumber: Perpustakaan foto Jabatan Penerangan)

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.

Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?

Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?


Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?

Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?

Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan Malaysia

KONTRAK SOSIAL MALAYSIA

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini.

Sumber: Laman Web Tun Mahathir

CARA MENGHORMATI BENDERA

(i) Sebagai Lambang Kebesaran dan Kedaulatan Negara

rajah_30

Rajah 30 , Rajah 31 & Rajah 32



Rajah 30: Jika anda seorang awam yang memakai baju Melayu dan bersongkok, maka hendaklah berdiri tegak dengan kedua belah tangan diluruskan ke bawah.

Rajah 31: Jika anda seorang awam dan memakai lain-lain pakaian, anda juga mestilah berdiri tegak dengan kedua tangan diluruskan ke bawah.

Rajah 32: Jika anda seorang awam yang memakai topi, maka topi tersebut mestilah dibuka dan diletakkan di dada disebelah kiri.

(ii) Sebagai Tanda Berkabung

Bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung di atas peristiwa tertentu seperti kemangkatan atau meninggal dunia pembesar-pembesar negara dan pembesar-pembesar negara asing. Arahan mengenai pengibaran bendera setengah tiang ini akan dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri bagi negeri-negeri berkenaan. Di antara peristiwa-peristiwa tersebut ialah:-

(a) Kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (pada hari pengisytiharan kemangkatan sehingga hari pemakaman).

(b) Kemangkatan D.Y.M.M. Raja-Raja dan D.Y.M.M. Raja-Raja Permaisuri (pada hari pengisytiharan kemangkatan sehingga hari pemakaman).

(c) Tuan-Tuan Yang Di-Pertua Negeri dan isteri-isteri (pada hari pengisytiharan sehingga hari pegebumian).

(d) Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.A.B. Pemangku Perdana Menteri (hari pengisytiharan sehingga hari pengebumian).

separuh_tiang

Kedudukan Pengibaran Bendera Separuh Tiang



(iii) Sebagai Tanda Menghormati Jenazah

Bendera Malaysia boleh menutup keranda di dalam Istiadat Permakaman/Pengkebumian Negara ataupun ketika membawa balik jenazah yang meninggal dunia di luar negara:-

(a) Pembesar-pembesar negara

(b) Duta-Duta Malaysia

(c) Anggota tentera yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas

tutup_jenazah

Bendera Malaysia Digunakan Untuk Menutup Keranda Jenazah Almarhum Tunku Abdul Rahman Sebagai Penghormatan Terakhir Negara

CARA MEMBUAT BENDERA

Pada asasnya masyarakat telah pun mengenali bentuk bendera kita. Namun demikian masih ramai yang kurang memahami cara membuat bendera Malaysia yang tepat. Walaupun bendera boleh dibuat sebesar mana yang kita kehendaki, tetapi ianya mempunyai kadar ukuran y+ang telah ditetapkan agar corak bendera kita tidak akan berubah sewenang-wenangnya seperti yang banyak berlaku pada hari ini. Jika sekiranya ukuran kadarnya berubah, maka bentuk bendera juga akan turut berubah. Ukuran bendera Malaysia yang standard ialah 91.5 sm (3 kaki) lebar dan 183 sm (6 kaki) panjang. Nisbah yang betul bagi bendera Malaysia ialah 1 : 2. Cara membuat bendera Malaysia yang tepat adalah seperti berikut:-

buat1

buat2

LAGU BENDERAKU

(Rentak lagu March)



Benderaku yang gagah perkasa

Merah putih kuning biru warnanya

Berkibar megah penuh bercahaya

Pusaka kita rakyat Malaysia



Bendera Malaysia oh benderaku

Kupertahankan sepenuh ragaku

Dikaulah lambang negara berpadu

Di bawah naungan Duli Tuanku



Berkibar terus oh benderaku

Kau kan ku junjung sepanjang waktu

Harumlah nama negara yang tercinta

Padamu tempat taat dan setia



Bendera Malaysia bendera kita

Kemegahan rakyat kita semua

Berkibar berkibar di ruang angkasa

Dirgahayu bendera kita

Ciptaan: Tony Fonseka

Senikata: Tony Fonseka

benderaku

NEGARA MALAYSIA

Bendera

malaysia_b
Bendera negara Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Terengganu, Perlis, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna Kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Di Raja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Jata Negara

malaysia_l

Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima belah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu). Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pualu Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri itu adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penupang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu dipakai dalam Lambang Malaysia. Cogan - Besekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Di Raja Yang Maha Mulia Raja-Raja.

CARA-CARA MENGIBARKAN BENDERA

Adab dan Tertib

Bendera adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh yang demikian menaikkan dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan dan cara yang sopan. Cara-cara yang sesuai ialah:-

  1. Sebelum menaikkan bendera ujilah tali temali bendera terlebih dahulu bagi memastikan ianya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan bendera jatuh atau melampai tidak tentu kibarannya.
  2. Sebelum bendera dinaikkan, pastikan ianya dalam keadaan yang baik.
  3. Mereka yang akan menaik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.
  4. Menaik dan menurunkan bendera hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya semula keseparuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.
  5. Bendera janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.
  6. Bendera janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselimpangkan ke bahu apabila ia sampai ke bawah.
  7. Selepas digunakan bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkahi dan sebagainya.
  8. Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan sebagai memberi kehormatan negara seperti menutup keranda dalam Istiadat Pemakaman/Pengkebumian Negara.
  9. Bendera yang koyak dan telah bertukar warna adalah dianggap sebagai bendera yang uzur. Bendera yang uzur hendaklah dikibarkan kerana pengibarannya menunjukkan tanda tidak hormat. Ianya hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan. Caranya ialah dengan membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.

Tempat

Bendera Persekutuan dikibarkan di tempat-tempat seperti berikut:-

(i) Kediaman
(ii) Kedutaan
(iii) Bangunan (di luar, di dalam atau di atas)
(iv) Pejabat
(v) Kapal/Feri/Bot
(vi) Kapal Terbang
(vii) Kereta

Hari

Walaupun Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 menetapkan Bendera Persekutuan hendaklah dikibarkan pada hari-hari pejabat biasa dan hari-hari Kebesaran Persekutuan dan Negeri, ianya juga bolehlah dikibarkan setiap hari dan di mana berkaitan.

(i) Sekolah-sekolah hendaklah mengibarkan bendera pada hari-hari persekolahan.
(ii) Di peringkat negeri, Bendera Persekutuan hendaklah dikibarkan pada hari-hari yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Am Bil. 7 Tahun 1957 iaitu:-
(a) Hari ulang tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
(b) Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
(c) Lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Negeri-negeri.

Masa

Tradisi mengibarkan bendera ialah bendera mulai dikibarkan apabila matahari terbit dan ianya diturunkan waktu matahari terbenam iaitu muali pukul 7.00 pagi hingga 7.00 petang. Tradisi ini telah menjadi amalan antarabangsa semenjak beratus tahun dahulu terutamanya di dalam Angkatan Tentera.

Kerajaan Persekutuan telah memutuskan supaya bendera dikibarkan di bangunan-banguann Persekutauan mengikut masa yang ditetapkan iaitu:-
(i) Bangunan-Bangunan Kerajaan Persekutuan :

Mengikut waktu pejabat biasa dan dikibarkan terus menerus (overnight) sekiranya hari berikutnya adalah Hari Kebesaran/Cuti Umum yang ditetapkan bendera dikibarkan; dan
(ii) Sekolah-sekolah

Mengikut waktu mulanya kelas pertama dan menurunkannya selepas kelas terakhir tamat; dan
(iii) Kapal dan Feri

Bendera hendaklah dikibarkan di atas kapal dan feri sepanjang hari.

SUSUNAN KEUTAMAAN BENDERA

Susunan keutamaan bendera-bendera ialah seperti berikut:-



(i) Bendera Malaysia

(ii) Bendera Negeri-negeri (Susunan keutamaan mengikut keutamaan D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan T.Y.T Yang Di Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam perkara 70 Perlembagaan Persekutuan. Keutamaan sekarang adalah seperi di Jadual di bawah. Susunan ini akan berubah sekiranya berlaku apa-apa pertukaran dalam susunan keutamaan D.Y.M.M. Raja-raja Melayu dan T.Y.T. Yang Di Pertua-Yang Di Pertua Negeri disebabkan adanya perlantikan baru.

keutamaan

Jadual 2 : Susunan Keutamaan Bendera Malaysia Negeri-Negeri Dan Wilayah Persekutuan

PENENTUAN ARAH PANDANGAN PENGIBARAN BENDERA

Penentuan arah pandangan pengibaran bendera adalah pandangan dari luar bangunan memandang ke arah bangunan. Penentuan ini adalah selaras dengan peraturan sedia ada bagi beberapa negara di dunia, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia. Penetapan arah pandangan bendera adalah seperti berikut:-

arah

Rajah 4 : Arah Pandangan Bendera

SUSUNAN DAN KEDUDUKAN BENDERA MALAYSIA APABILA DIKIBARKAN

Susunan dan kedudukan bendera adalah bergantung kepada di mana bendera-bendera tersebut hendak dikibarkan atau dihamparkan. Susunan yang biasa dibuat ialah:-

(i) Susunan di luar dan di dalam bangunan

(a) Susunan Pada Hari Biasa dan Hari-Hari Kebesaran Persekutuan

Jika hanya dua bendera dikibarkan di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan dalam negeri, maka susunannya ialah seperti berikut:-


susunan_5
Rajah 5: Susunan Bagi Dua Tiang Bendera

Jika tiga bendera dikibarkan di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan dalam negeri, maka susunannya ialah seperti berikut:-


susunan_6
Rajah 6: Susunan Bagi Tiga Tiang Bendera

(b) Susunan Pada Hari-Hari Kebesaran Negeri

Jika hanya dua bendera dikibarkan pada majlis peringkat negeri di negeri yang berkenaan, maka susunannya adalah seperti berikut:

susunan_7

Rajah 7: Susunan Bagi Dua Tiang Bendera

Jika tiga bendera dikibarkan di majlis peringkat negeri di negeri, maka susunannya ialah seperti berikut:

susunan_8

Rajah 8: Susunan Bagi Tiga Tiang Bendera





(c) Susunan Apabila Mengibarkan Bendera Persekutuan Dengan Bendera Negeri-Negeri

Bendera-bendera yang dikibarkan cara sebaris dan keutamaannya bermula dari kiri ke kanan ditunjukkan seperti berikut:-

susunan_9

Rajah 9: Pengibaran Bendera Malaysia dan Negeri-Negeri Secara Sebaris





Bendera-bendera yang dikibarkan cara sebaris dan kekanan bermula dari tengah-tengah ditunjukkan seperti berikut:-

susunan_10

Rajah 10: Pengibaran Bendera Malaysia dan Negeri-Negeri Secara Sebaris dan Kekanan Bermula Dari Tengah-Tengah





Bendera-bendera yang dikibarkan cara dibahagi dua belah dan keutamaannya bermual dari dalam ditunjukkan seperti berikut:-

susunan_11

Rajah 11: Pengibaran Bendera Malaysia dan Negeri-Negeri Secara Dibahagi Dua





(d) Di persidangan antarabangsa bendera-bendera hendaklah dikibarkan atau disusun mengikut dua cara berdasarkan susunan abjad nama negara-negara berkenaan dan seperti yang telah ditetapkan oleh pertubuhan berkenaan jika ada.

susunan_12

Rajah 12: Pengibaran Cara Dibahagi Dua

susunan_13

Rajah 13: Pengibaran Cara Sebaris

susunan_14

Rajah 14: Susunan Bendera Di Atas Meja



(e) Susunan Di Gedung/Kedai/Rumah

Bila bendera Malaysia dipasangkan di rumah, maka ia hendaklah dikibarkan pada tiang yang dicondongkan ke arah jalanraya. Di deretan gudang/kedai pula, jika dua bendera dipasangkan di dalam Wilayah Persekutuan, maka bendera Malaysia mestilah dikibarkan di sebelah kiri dan bendera yang lagi satu sebelah kanan pada tiang yang dicondongkan ke arah jalan raya.

susunan_15

Rajah 15: Susunan Bendera Di Gedung/Kedai/Rumah



(f) Susunan Dalam Keadaan Bersilang

Dalam keadaan bendera Malaysia diletakkan bersilang, bendera Malaysia hendaklah diletakkan di sebelah kiri dan di atas bendera yang lain.

susunan_16

Rajah 16: Susunan Bendera Bersilang Dua



Jika bendera Malaysia diletakkan di dalam satu kumpulan bendera negeri dan bendera swasta, bendera Malaysia hendaklah dikibarkan di tengah-tengah di antara dua bendera dan tiangnya diletakkan terkeatas dari bendera yang lain. Bendera negeri diletakkan di sebelah kiri manakala bendera swasta di sebelah kanan.

susunan_17

Rajah 17: Susunan Bendera Bersilang Tiga





(g) Susunan Semasa Lawatan Negara/Rasmi

Adalah menjadi amalan biasa negara kita memberi kehormatan (courtesy) kepada pelawat itu, maka bendera pelawat diberi keutamaan atas bendera Malaysia. Misalnya semasa lawatan Paduka Yang Mulia Presiden Indonesia, susunan benderanya adalah seperti rajah di bawah:-

susunan_18

Rajah 18: Susunan Dua Bendera Semasa Lawatan Negara



(h) Susunan Bendera Khusus Bagi Acara Dalam Dewan/Bangunan/Stadium

susunan_19

Rajah 19: Susunan Bendera Semasa Seminar

susunan_20

Rajah 20: Susunan Bendera Semasa Mesyuarat

susunan_21

Rajah 21: Susunan Bendera Semasa Majlis Perundangan/Perbincangan

susunan_22

Rajah 22: Susunan Bendera Semasa Majlis Perundangan/Perbincangan Dua Negara

susunan_23

Rajah 23: Susunan Bendera Dalam Acara Sukan





(ii) Susunan dalam perarakan

(a) Bendera Berkibar

Jika bendera diarak secara sebaris, bendera Malaysia hendaklah mendahului bendera-bendera lain.

susunan_24

Rajah 24: Susunan Bendera Sebaris



Jika bendera diarak secara sederet bendera Malaysia hendaklah diletakkan di tengah-tengah di antara bendera-bendera tersebut ataupun di tengah-tengah dan terkehadapan sedikit dari bendera-bendera lain.

susunan_25

Rajah 25: Susunan Bendera Sederet



(b) Bendera Terbentang

Jika bendera dibawa berarak secara terbentang, bahagian kepala bendera hendaklah diusung mendahului perarakan sama seperti jika ianya dibawa dengan tiang bendera.

susunan_terbentang





(iii) Susunan dan kedudukan pada dinding/tembok bangunan atau objek yang statik

Apabila bendera Malaysia dipamerkan atau dilukis pada dinding, tembok bangunan atau objek yang statik, bahagian Bulan Bintang atau kepala bendera hendaklah terletak di sebelah kiri, dipandang dari hadapan.

susunan_26

Rajah 26: Kedudukan Bendera Pada Dinding



Apabila bendera Malaysia dibentangkan di belakang tempat berucap, ia mestilah dibentangkan terke atas dan di belakang orang yang berucap.

susunan_27

Rajah 27: Kedudukan Bendera Di Tempat Berucap



Apabila dua atau lebih bendera dipamerkan di dinding, keutamaan hendaklah diberikan kepada bendera Malaysia. Susunannya sama seperti susunan mengibarkan bendera Malaysia dan negeri-negeri. Di majlis-majlis sempena lawatan negara/rasmi jika bendera negara pelawat dan bendera Malaysia dipamerkan, kedudukan bendera negara pelawat ialah di sebelah kiri dan bendera Malaysia di sebelah kanan dipandang dari hadapan.

susunan_28

Rajah 28: Kedudukan Dua Bendera Pada Dinding

susunan_29

Rajah 29: Kedudukan Pengibaran Bendera Pada Hari-Hari Biasa


TERMINOLOGI BENDERA

Mengikut amalan antarabangsa, bendera boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:

  1. Lebar (Width)
  2. Panjang (Length)
  3. Bahagian Biru Tua (Canton)
  4. Bahagian Atas (Top/Head)
  5. Bahagian Bawah (Bottom/Foot)
  6. Kepala (Hoist)
  7. Ekor (Fly)

UKURAN BENDERA

ukuran

Bendera mempunyai berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tujuan kegunaannya dan di mana ianya hendak dikibarkan.

1. Bendera Biasa (Standard)

Lebar - 91.5 sm (3 kaki)
Panjang - 183 sm (6 kaki)

Bendera ukuran inilah yang dikaibarkan di bangunan, pejabat dan boleh
juga dikibarkan di rumah-rumah.

2. Bendera Rumah

Lebar - 61 sm (2 kaki)
Panjang - 122 sm (4 kaki)

Bendera ukuran ini dikhususkan untuk kegunaan rumah-rumah kediaman
di mana saiz dan ketinggian tiang-tiang bendera yang dapat digunakan
adalah terhad.

3. Bendera Sedang

Lebar - 122 sm (4 kaki)
Panjang - 244 sm (8 kaki)

Bendera berukuran di atas digunakan sebagai penutup keranda bagi mereka
yang 'mendapat penghormatan' Negara.

4. Bendera Besar

Lebar - 183 sm (6 kaki)
Panjang - 366 sm (12 kaki)

Bendera besar dikibarkan di Kedutaan-kedutaan Negara kita di luar negara.
Dalam negeri ianya dikibarkan di tempat-tempat tertentu sahaja. Untuk
mengibarkan Bendera Besar ketinggian tiang bendera hendaklah bersesuaian.

5. Bendera Meja

Lebar - 15.25 sm (0.5 kaki)
Panjang - 30.50 sm (1 kaki)

Bendera ukuran inilah yang digunakan untuk bendera yang diletakkan di atas
meja. Ianya digunakan di persidangan, seminar, mesyuarat dan majlis-majlis
menandatangani perjanjian.

6. Bendera Kereta

Lebar - 15.25 sm (0.5 kaki)
Panjang - 30.50 sm (1 kaki)

Bendera Kereta dikibarkan di bahagian hadapan kereta sama ada di
tengah-tengah, di hadapan kanan atau kiri kereta. Amalan menggunakan
Bendera Kereta hanyalah dikhaskan kepada pembesar-pembesar tertentu
sahaja iaitu:-

(I) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda
Raja Permaisuri Agong (Bendera Peribadi).

(II) Pelawat-pelawat negara asing yang mendapat taraf Tetamu Negara/
Kerajaan (Bendera Peribadi atau Bendera negara masing-masing).

(III) Duta-Duta Negara Asing di Malaysia (Bendera negara masing-masing).

(IV) Pegawai-pegawai Angkatan Tentera dan Polis Di Raja Malaysia

(Bendera Tentera atau Polis Di Raja).

TIANG BENDERA

Tiang-tiang yang akan digunakan bagi mengibarkan bendera-bendera hendaklah bersesuaian dari segi ketinggian dan lilitan dengan ukuran bendera. Bendera Besar tidak sesuai dikibarkan pada tiang yang rendah dan kecil. Ketinggian dan lilitan tiang bagi beberapa ukuran bendera disenaraikan seperti berikut :

tiang_tinggi

Jadual 1 : Senarai Ketinggian dan Lilitan Tiang Bendera

tiang_rajah2

Rajah 2 : Pemasangan Dua Tiang Bendera

tiang_rajah3

Rajah 3 : Pemasangan Tiga Tiang Bendera